UMPSA PERKUKUH KOLABORASI PENYELIDIKAN DENGAN IMPERIAL COLLEGE LONDON
8 September 2025 - Delegasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Herma Dina Setiabudi, Pengarah UMPSA Global, telah mengadakan lawatan rasmi ke Imperial College London, khususnya ke Jabatan Kejuruteraan Kimia, dengan objektif memperkukuh kerjasama penyelidikan dan akademik bersama salah sebuah universiti penyelidikan terkemuka dunia.
Lawatan dimulakan dengan sesi pertemuan bersama Prof. Camille Petit, Professor of Chemical Engineering dan Director of Research, Department of Chemical Engineering, yang berkongsi hala tuju serta fokus penyelidikan jabatan tersebut. Delegasi turut berpeluang meninjau beberapa fasiliti penyelidikan bertaraf dunia, antaranya:
- Makmal Prof. Klaus Hellgardt (dikendalikan oleh
Encik Aaron McQuade)
- Fasiliti ATLAS (oleh Dr. Lana Lee)
- Fasiliti DigiBAT (oleh Dr. Jingyu Feng)
Selain itu, delegasi turut meninjau loji perintis penangkapan karbon dioksida (CO₂) yang diketuai oleh Dr. Colin Hale, yang menampilkan inovasi terkini dalam bidang kelestarian dan tenaga bersih.
Agenda pada sesi petang diteruskan dengan sesi perbincangan kerjasama akademik dan penyelidikan bersama Prof. Jerry Heng, Professor in Particle Technology dan Director of Undergraduate Studies, Department of Chemical Engineering. Perbincangan ini memberi tumpuan kepada peluang pelaksanaan projek penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran, serta pengembangan program akademik seperti micro-credential (MC), global classroom (GC), dan mobiliti akademik antara kedua-dua institusi.
Lawatan kerja sehari di London ini turut diadakan bersempena penyertaan UMPSA dalam European Association for International Education (EAIE) 2025 di Gothenburg, Sweden, pada 9–12 September 2025. Penyertaan ini menjadi platform strategik untuk memperkukuh jaringan antarabangsa, memperluas kerjasama penyelidikan global, serta menyokong aspirasi UMPSA sebagai ASEAN Advanced TVET Hub menjelang 2030.
Latest News
17 September 2025