8 PELAJAR KEJURUTERAAN KIMIA UMPSA BERLEPAS KE CHINA BAGI PROGRAM IJAZAH DUAL UMPSA–TJU
9 September 2025 - 8 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berlepas ke Tianjin, China bagi mengikuti pengajian Ijazah Dual hasil kerjasama UMPSA dengan Tianjin University (TJU) dalam bidang Kejuruteraan Kimia untuk tempoh dua tahun selepas mengikuti pengajian selama dua tahun di universiti ini.
Tianjin University (TJU) diiktiraf sebagai salah satu universiti teknologi terbaik di China yang berkepakaran dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, program ini merupakan sebahagian daripada usaha UMPSA melahirkan graduan bertaraf global serta kemahiran berdaya saing sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat global.
Beliau hadir menyantuni pelajar dan ibu bapa di balai berlepas malam ini.
Hadir sama Penolong Pengarah Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA, Puan Naiman Umaira dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman.
Ujarnya, kerjasama antara UMPSA dengan Tianjin University (TJU) telah terjalin sejak tahun 2016.
Pada tahun 2021, kedua-dua universiti telah memperkukuh jalinan ini dengan menandatangani Perjanjian (MoA) bagi Program Ijazah Dual.
“Kerjasama ini membuka peluang kepada pelajar untuk mendapat pengalaman pembelajaran di dua negara serta meningkatkan jaringan akademik dan penyelidikan bersama serta kebolehpasaran graduan,”katanya.
Program ini juga membolehkan pelajar memperoleh dua ijazah serentak iaitu Bachelor of Chemical Engineering with Honours (UMPSA) dan Bachelor of Engineer in Chemical Engineering & Technology (TJU) dalam tempoh pengajian yang ditetapkan.
Selain biasiswa UMPSA, pihaknya menghargai tajaan pihak lain terutamanya Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Yayasan Sabah atas kerjasama ini.
Dalam pada itu, kerjasama ini tepat pada masanya lanjutan daripada kunjungan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang berkunjung ke Tianjin, pusat teknologi dan pendidikan tinggi negara bagi mengukuhkan lagi hubungan strategik Malaysia-China dalam bidang diplomasi, ekonomi, pendidikan, teknologi dan pembangunan bakat.
Perdana Menteri turut menyampaikan kuliah di Tianjin University bertajuk “Sovereign Interdependence: Building a Shared Future in Asia” kepada lebih 500 peserta yang terdiri daripada pelajar, akademik dan pemimpin pemikiran antarabangsa.
UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam (UA) yang telah melaksanakan sebelas program ijazah dual dengan kerjasama rakan strategik.
Turut serta dalam program hari ini, Penolong Timbalan Naib Canselor (Antarabangsa dan Kerjasama Akademik), Prof Datin Ts Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim dan Pengarah Pusat Kerjasama Akademik dan Mobiliti, Prof. Madya Dr. Nik Aloesnita binti Nik Mohd Alwi.