70 PELAJAR SK BUNUT RENDANG TERUJA BELAJAR PENGHASILAN SABUN DARI MINYAK TERPAKAI
6 November 2025 - Seramai 70 murid Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang (SKBR) teruja kerana menyertai program Eco-Campus-Greenovation 2025 sempena Minggu Ekspo Konvokesyen UMPSA ke 20 bertempat di UMPSA Gambang dengan menghasilkan sabun dari minyak terpakai.
Program ini adalah anjuran Pusat Pembangunan Kelestarian dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta Kelab Eco Nexus UMPSA.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC) UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain. Dalam ucapannya, beliau berkongsi dengan peserta bahawa UMPSA baharu sahaja menerima pengiktirafan sebagai Eco-Campus pada tahun ini, selaras dengan komitmen universiti dalam melaksanakan inisiatif kelestarian secara berterusan.
Menurut beliau, penganjuran program seperti ini merupakan salah satu usaha UMPSA untuk memperkukuh peranan dalam mendidik dan menyebarluaskan amalan kelestarian kepada masyarakat, khususnya kepada golongan muda di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Kerjasama strategik antara UMPSA sebagai sebuah Eco-Campus dan SKBR sebagai sekolah yang diiktiraf Eco-School turut memperlihatkan sinergi berkesan dalam memperkasa budaya hijau dan pembelajaran lestari di luar kampus.
Tambahnya, menerusi perkongsian ilmu dan kepakaran daripada ahli akademik universiti, murid-murid didedahkan dengan pengetahuan yang lebih holistik dan praktikal berkaitan kelestarian.
UMPSA komited untuk terus melaksanakan pelbagai program komuniti hijau bersama sekolah-sekolah dan masyarakat setempat agar usaha kelestarian dapat dipupuk secara inklusif dan memberi impak lebih meluas demi kesejahteraan bumi pada masa hadapan, katanya.
Program ini dikendalikan oleh dua orang Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia Dan Proses iaitu Ir. Dr. Mohd Sabri Mahmud dan Dr. Jun Haslinda Haji Shariffuddin dan dibantu lebih 20 Sukarelawan Pelajar UMPSA.







