Official Website    

Official Website    

News & Events

MAJLIS TEA & TIES ALUMNI CONNECT FTKKP 2025 - MENGHUBUNG GENERASI, MENYEMAI INSPIRASI

MAJLIS TEA & TIES ALUMNI CONNECT FTKKP 2025 - MENGHUBUNG GENERASI, MENYEMAI INSPIRASI

8 November 2025 - Bertemakan semangat keakraban dan jaringan profesional, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Majlis Tea & Ties Alumni Connect FTKKP 2025 pada 8 November 2025 (Sabtu) bertempat di Awangan Palace, Kuantan.

Program yang berlangsung dari jam 2.30 hingga 5.00 petang ini menjadi platform mempertemukan alumni pelbagai generasi termasuk graduan tahun 2025 serta alumni tahun 2023, 2021, 2008, 2007 dan 2006 dalam suasana penuh mesra dan bermakna. Seramai lebih 60 orang peserta yang terdiri daripada alumni dan pensyarah hadir bagi memeriahkan majlis ini.

Turut berkenan hadir ialah Dekan FTKKP, Prof. Ts. Dr. Sumaiya binti Zainal Abidin @ Murad, serta Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Ts. Dr. Azizul Helmi bin Sofian, yang menzahirkan penghargaan kepada para alumni atas sokongan berterusan mereka dalam memperkukuh ekosistem akademik dan profesional fakulti.

Majlis ini turut diserikan dengan sesi perkongsian kerjaya oleh dua alumni FTKKP. Ts. Mohd Azlan Hj. Mat Ali, yang kini berkhidmat sebagai Senior Process Engineer, Research & Innovation (R&I), Lynas Malaysia Sdn. Bhd., berkongsi pengalaman beliau dalam dunia kejuruteraan serta menekankan kepentingan etika kerja dan daya tahan dalam menghadapi tekanan serta cabaran industri.

Puan Nur Sharlinawati Md Said, Senior Project Control Engineer, PETRONAS, turut berkongsi perjalanan profesionalnya yang sarat dengan nilai disiplin, komunikasi berkesan dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab. Beliau turut memberi nasihat kepada pelajar agar sentiasa mengekalkan semangat ingin belajar dan kebolehsuaian diri bagi menghadapi perubahan teknologi dan kehendak pasaran kerja.

Kedua-dua perkongsian tersebut membuka perspektif baharu kepada graduan muda tentang dunia pekerjaan sebenar serta menonjolkan sumbangan alumni FTKKP dalam pelbagai bidang industri.

Melalui penganjuran majlis seperti ini, FTKKP terus komited memperkukuh jaringan alumni yang berperanan sebagai jambatan antara fakulti dan dunia pekerjaan. Usaha ini sejajar dengan aspirasi UMPSA dalam melahirkan graduan holistik, beretika serta berdaya saing di peringkat global.

Majlis diakhiri dengan sesi ramah mesra, bergambar kenangan dan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada para alumni yang hadir. Aktiviti santai seperti cabutan bertuah turut diadakan bagi menyerikan suasana majlis yang berlangsung dalam semangat keakraban. FTKKP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kejayaan penganjuran majlis ini. Diharapkan hubungan erat antara alumni dan fakulti akan terus diperkukuh demi melahirkan generasi jurutera yang berinovasi dan berimpak tinggi.

Image
ADDRESS

Faculty of Chemical and Process Engineering Technology
Level 1 Chancellery Building
Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300 Kuantan
Pahang Darul Makmur.