Official Website    

Official Website    

News & Events

PRODUK GRIS GRED MAKANAN HALAL DAN TERBIODEGRASI HASIL PENYELIDIKAN UMPSA DI PERSADA DUNIA

PRODUK GRIS GRED MAKANAN HALAL DAN TERBIODEGRASI HASIL PENYELIDIKAN UMPSA DI PERSADA DUNIA

21 Julai 2025 - Produk hasil penyelidikan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang diketuai pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Ts. Mohd Najib Razali terpilih menyertai pameran Expo Dunia Osaka 2025 (World Expo Osaka 2025), Jepun berskala antarabangsa terbesar di dunia yang berlangsung setiap lima tahun sekali pada bermula 21 hingga 27 Julai 2025 ini.  

Menurut Ts. Mohd Najib, pihaknya bersyukur apabila produk ini berjaya tersenarai setelah melalui proses saringan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terhadap 49 produk teknologi universiti awam (UA) Malaysia yang telah dikomersialkan untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Hasil daripada proses penilaian tersebut, sebanyak 11 produk terbaik telah terpilih untuk dipamerkan di Reruai KPT, Pavilion Malaysia semasa Expo Osaka 2025.  

“Produk Minyak Gris Gred Makanan Halal dan Terbiodegradasi ini mendapat kerjasama Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UMPSA. 

“Produk ini kemudian telah dikomersilkan oleh syarikat pemula (start-up) UMPSA iaitu MNR Multitech Sdn. Bhd. yang telah berada di pasaran sejak tahun 2024,” katanya.

Ujar beliau, produk ini dibangunkan UMPSA hasil daripada minyak berasaskan tumbuhan yang lestari.

“Pelincir mesra alam ini tidak mengandungi toksik dan selamat untuk sentuhan tidak langsung dengan makanan, kosmetik serta produk farmaseutikal.

“Selain itu, produk minyak gris gred makanan halal dan terbiodegrasi ini direka khusus untuk aplikasi industri bersuhu tinggi.

“Inovasi ini menyokong matlamat pelepasan karbon sifar bersih,” katanya.

Tambah beliau lagi, ia telah diperakui di bawah piawaian antarabangsa seperti NSF H1, Halal, Amalan Perkilangan Baik (GMP), MyHijau dan ASTM yang menghasilkan piawaian bagi digunakan untuk memastikan kualiti, keselamatan, kebolehpercayaan produk dan bahan sekali gus memenuhi keperluan pematuhan global.

“Lebih menarik, produk ini ditawarkan pada harga yang berdaya saing dan gris keluaran tempatan ini menjadi alternatif mampu milik kepada produk import,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, penyertaan ini suatu pengiktirafan terhadap kekuatan penyelidikan dan inovasi universiti  dan ia membuka peluang strategik untuk pengantarabangsaan produk komersial universiti serta memperkukuh jenama UMPSA di persada global.

Image
ADDRESS

Faculty of Chemical and Process Engineering Technology
Level 1 Chancellery Building
Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300 Kuantan
Pahang Darul Makmur.