BENGKEL AKADEMIK PROGRAM PRASISWAZAH FTKKP 2025
15 Julai 2025 - Bengkel Akademik Program Prasiswazah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) telah berlangsung dengan jayanya pada 15 Julai 2025 bertempat di AC Hotel Kuantan. Bengkel ini melibatkan penyertaan semua tenaga pengajar daripada program prasiswazah FTKKP iaitu BKC, SBKC, BTF, BTK, BTO, DRK dan BVF. Objektif utama bengkel ini adalah untuk menyelaras pelaksanaan kurikulum, memperkemas dokumen pengajaran, serta memastikan pematuhan terhadap keperluan badan-badan akreditasi berkaitan.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dekan FTKKP, Profesor Ts. Dr. Sumaiya binti Zainal Abidin@Murad, diikuti taklimat bengkel oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Profesor Madya Ts. Dr. Nasratun binti Masngut. Sesi pagi diteruskan dengan sesi selari bertemakan pemantapan Outcome-Based Education (OBE) mengikut badan akreditasi yang relevan. Antara peneeramah jemputan yang hadir ialah Profesor Madya Dr. Mohd Anwar bin Zawawi (ETAC) bagi program BTF, BTO, BTK dan DRK; Profesor Madya Ts. Dr. Aishah binti Abu Bakar (MBOT) bagi program BVF; dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Shaiful bin Abdul Karim (EAC) bagi program BKC. Sesi petang diteruskan dengan perbincangan khusus mengikut program berkaitan pelaksanaan kurikulum baharu serta semakan dan penambahbaikan pelan pengajaran. Bengkel ini menjadi platform penting dalam usaha berterusan FTKKP untuk meningkatkan kualiti akademik dan memastikan keberkesanan pengajaran serta pembelajaran sejajar dengan kehendak industri dan badan akreditasi.









