PENYELIDIK UMPSA PAMER HASIL PENYELIDIKAN DI JELITA@KPT SUMMIT 2024

PENYELIDIK UMPSA PAMER HASIL PENYELIDIKAN DI JELITA@KPT SUMMIT 2024

Program Jelita@KPT Summit 2024: Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement telah berlangsung dengan jayanya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Program ini dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, dan bertujuan memperkasakan wanita melalui peningkatan kemahiran, kebolehpasaran, serta sokongan terhadap graduan TVET bergaji premium.
 
Dalam program ini, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), UMPSA turut mengambil bahagian sebagai pempamer dengan mengetengahkan dua projek penyelidikan. Projek pembangunan bongkah cendawan tiram kelabu menggunakan sisa-sisa pertanian di Malaysia, diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Ruzinah Isha bersama Ts. Dr. Fathie Ahmad Zakil, Dr. Nur Aminatulmimi Ismail, dan Puan Hafizah Ramli, menjadi salah satu tarikan pengunjung. Selain itu, projek penternakan itik yang diketuai oleh Ts. Mohd Najib Razali turut dipamerkan, memperlihatkan inovasi dan sumbangan FTKKP dalam bidang penyelidikan.
 
Program ini turut dihadiri oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, yang melawat reruai pameran penyelidikan UMPSA bersama Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMPSA. Pameran ini juga melibatkan penyertaan penyelidik dari universiti MTUN seperti UTeM, UNIMAP, UTHM, UNIKL, dan UNISEL, menjadikan program ini satu platform penting untuk kerjasama strategik dan perkongsian pengetahuan.
 
Program Jelita@KPT Summit 2024 membuka peluang besar bagi graduan wanita untuk meningkatkan kemahiran insaniah dan teknikal yang berasaskan keperluan industri, memperkukuh kebolehpasaran mereka di pasaran kerja, dan menyokong pembangunan kerjaya yang inklusif dan mampan. UMPSA berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini yang memacu masa depan graduan wanita Malaysia!

Print   Email