Official Website    

Official Website    

News & Events

HASRAT NUR AIFFA KHADEEJA KE UMPSA TERCAPAI, BAKAL TERIMA DERMASISWA B40-TVET

HASRAT NUR AIFFA KHADEEJA KE UMPSA TERCAPAI, BAKAL TERIMA DERMASISWA B40-TVET

9 Julai 2025 - Minat Kimia sejak kecil mendorong Nur Aiffa Khadeeja binti Zawawi, dari Pekan Pahang memilih pengajian Diploma Kejuruteraan Kimia sebagai pilihan pertama dan impiannya menjadi kenyataan apabila berjaya ditawarkan pengajian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP).

Nur Aiffa merupakan atlet sukan hoki Terengganu diuji dengan demam dan tidak sihat sepanjang peperiksaan lalu, namun ia bukan halangan buatnya untuk terus berjaya diiringi doa dan dorongan ibunya, Dayang Nor Fauziana binti Radzi yang ingin melihat anak-anaknya melangkah ke menara gading.

Prihatin terhadap nasib sebahagian keluarga pelajar yang berdepan kesempitan hidup, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi inisiatif Ziarah Prihatin telah mengadakan kunjungan ke rumah pelajar baharu Diploma Sesi 2025/2026 di sekitar daerah Pekan.

Beliau yang merupakan anak kedua daripada empat beradik adalah bekas pelajar MRSM Kuala Berang dan berasal daripada keluarga berpendapatan rendah apabila bapanya bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat di Pekan manakala ibunya tidak bekerja.

Cakna terhadap nasib pelajar, pihak universiti menyerahkan sumbangan berupa Insentif Bantuan Komputer Riba, bantuan kewangan awal pengajian RM1000 serta bakal menerima Dermasiswa B40-TVET sebagai usaha membantu kelangsungan pengajian beliau di UMPSA.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias, Timbalan Dekan ( Hal Ehwal Pelajar), FTKKP , Ts Dr Azizul Helmi Sofian dan Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Puan Haryani Abdullah. Kehadiran pimpinan universiti ini secara langsung memberi suntikan semangat dan motivasi kepada pelajar dan keluarganya menjelang sesi kemasukan yang bakal tiba.

Inisiatif Ziarah Prihatin ini adalah sebahagian daripada komitmen UMPSA dalam menyantuni pelajar dari pelbagai latar belakang sosioekonomi serta memastikan mereka mendapat sokongan moral dan bantuan yang sewajarnya. Usaha ini juga selari dengan matlamat universiti dalam menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 1 (menamatkan kemiskinan), SDG 4 (pendidikan berkualiti) dan SDG 10 (mengurangkan ketidaksamarataan).

Image
ADDRESS

Faculty of Chemical and Process Engineering Technology
Level 1 Chancellery Building
Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300 Kuantan
Pahang Darul Makmur.