UMPSA PERKASA PERTANIAN MAMPAN MELALUI PROJEK KETUM AYAM
Seramai 60 orang penduduk tempatan menghadiri program perasmian Projek Ketum Ayam termasuklah 20 orang petani yang telah berdaftar untuk mengikuti dan menjalankan program yang ditawarkan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Kampung Ulu Kekabu, Setiu. Melalui pelaksanaan Projek Ketum Ayam, UMPSA terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan sektor pertanian mampan.
Menurut Pengarah Urusan Pretech Global Sdn. Bhd., Dr. Noormazlinah Ahmad, projek ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti makanan ternakan tempatan, tetapi juga membantu para usahatani mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia dan makanan import.
Program itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu di DUN Permaisuri, Yang Berhormat Haji Mohd Yusop Majid. Dalam ucapan perasmiannya, beliau memuji usaha UMPSA ini sebagai contoh terbaik kerjasama antara universiti, sektor swasta dan masyarakat setempat dalam menangani isu sosial seperti kemiskinan dan keselamatan makanan.
Semua inisiatif ini dijayakan melalui kerjasama strategik di antara PJIM, UMPSA, Lembaga Pertubuhan Peladang dan syarikat tempatan, De Nung Herb Sdn. Bhd., dengan matlamat untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat, menggalakkan amalan pertanian mampan, serta menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).