TUNAS 2.0 : MENDEKATKAN STEM DENGAN KOMUNITI SEKOLAH KEBANGSAAN BANDAR 2 PALOH HINAI
Pada 4 Disember 2024, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), telah menganjurkan program TUNAS di bawah inisiatif The Unseen Around Us: Exploring the World of Microorganisms (TUNAS).
Program ini melibatkan 57 orang pelajar kursus Downstream Processing dan Bioreactor Engineering bersama pensyarah kursus, selaras dengan usaha SULAM (Service-Learning Malaysia) yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Kerjasama ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar universiti mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam konteks komuniti sebenar.
Seramai 115 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Bandar 2 Paloh Hinai menghadiri program ini, termasuk 58 orang pelajar daripada komuniti Orang Asli. Semua pelajar sangat aktif mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti menarik seperti eksperimen mikroorganisma, bengkel STEM, dan sesi interaktif bersama fasilitator. Melalui pendekatan ini, pelajar-pelajar sekolah diberi peluang untuk memahami dunia mikroorganisma dengan lebih dekat dan bagaimana ia memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian.
Program ini bukan sahaja menjadi platform pembelajaran bermakna untuk pelajar universiti, tetapi juga menyokong perkembangan pendidikan STEM di kalangan generasi muda, khususnya pelajar luar bandar dan komuniti Orang Asli.
FTKKP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Kami kekal komited untuk terus menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui inisiatif pendidikan dan inovasi sosial.