Official Website    

Official Website    

News & Events

SYARAHAN UMUM FTKKP BINCANG POLIMER CETAKAN MOLEKUL (MIP) DAN PENGKOMPUTERAN DINAMIK BENDALIR (CFD)

SYARAHAN UMUM FTKKP BINCANG POLIMER CETAKAN MOLEKUL (MIP) DAN PENGKOMPUTERAN DINAMIK BENDALIR (CFD)

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullajh (UMPSA) menampilkan dua profesor daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) berkongsi kepakaran dalam Majlis Syarahan Umum pada kali ini.

Program anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) menampilkan Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya berbicara tajuk “Polimer cetakan molekul (MIP) :Prinsip Sintesis dan Aplikasi”.

Manakala Profesor Ts. Dr. Jolius Gimbun daripada fakulti yang sama berkongsi kepakaran serta hasil penyelidikan bertajuk “Pengkomputeran Dinamik Bendalir (CFD) Memacu Revolusi Industri ke-5 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Hadir dalam program Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad bin Sulaiman, Penolong Timbalan Naib Canselor (Pengantarabangsaan), Prof Datin Ts Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim dan Dekan FTKKP, Prof Ts Dr Sumaiya Zainal Abidin@Murad.

Menurut Profesor Dr. Yatimah, pencapaian kedua-dua profesor ini adalah hasil dedikasi, ketekunan dan komitmen yang tinggi dalam bidang kejuruteraan kimia dan proses.

“Syarahan umum ini bukan sahaja menandakan pencapaian peribadi kedua-dua Profesor, tetapi juga mencerminkan kecemerlangan fakulti dan universiti dalam melahirkan pemimpin akademik yang berwibawa,” katanya.

Beliau yakin bahawa syarahan umum hari ini akan memberikan inspirasi kepada hadirin untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Bagi Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal, peluang penyelidikan dalam dunia polimer memberi manfaat buat polimer baharu yang lebih selamat dan mampan.

“MIP sebagai alternatif pintar untuk dunia Kimia yang lebih lestari dengan reka bentuk yang pintar, murah, stabil, dan boleh diubah suai untuk pelbagai aplikasi , Kimia hijau (green chemistry) dan Industri mampan (sustainable industry),” katanya.

Kajian beliau banyak menyumbang kepada pembangunan sensor digiviti tinggi dan ketepatan tinggi dan membantu mempercepat teknologi pemantauan untuk industri, kesihatan dan keselamatan alam sekitar.

Manakala bagi Profesor Ts. Dr. Jolius, CFD mengoptimumkan proses industri dengan memberikan ramalan terperinci tentang corak aliran, pengagihan haba dan tingkah laku aerodinamik.

“Proses penambahbaikan dan pembangunan reka bentuk yang lebih cekap. Selain itu, CFD boleh meramal kecekapan pemisahan zarah bagi pelbagai reka bentuk tanpa perlu membuat prototaip atau eksperimen,” katanya.

Ujarnya, IR 4.0 mengajar kita cara untuk mengintegrasikan teknologi, manakala IR 5.0 mengintegrasikan IR 4.0 dengan nilai-nilai sosial dan kehidupan manusia.

Lebih 300 tetamu hadir termasuklah pelajar daripada Kolej Matrikulasi Gambang, SMK Abdul Rahman Talib, SMK Sultan Abu Bakar, SMK Tengku Afzan Kuantan, SMK Padang Garuda, SMK Pandan, SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, SMK Sultanah Hajah Kalsom dan Akademi YASA- MUIP.

Image
ADDRESS

Faculty of Chemical and Process Engineering Technology
Level 1 Chancellery Building
Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300 Kuantan
Pahang Darul Makmur.