PROGRAM PROFESOR TURUN PADANG 2024 : JOM KITAR SEMULA

PROGRAM PROFESOR TURUN PADANG 2024 : JOM KITAR SEMULA

Program Professor Turun Padang (PTP) 2024: Jom Kitar Semula yang dianjurkan oleh Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Paya Bungor, Kuantan pada 11 September 2024.
 
Seramai 12 orang wakil dari FTKKP terdiri daripada staf akademik, teknikal dan sokongan bergabung tenaga bersama guru-guru sekolah dalam menjayakan program ini. Tujuan utama program ini adalah mendedahkan dan mendidik warga SK Paya Bungor memelihara dan cintakan alam sekitar, cakna pengurusan sisa pepejal dan membina budaya sekolah yang cemerlang melalui aktiviti STEM iaitu kitar semula.
 
Menurut penyelaras program ini, Professor Madya Ts Dr Ruzinah Isha, sekolah SK Paya Bungor dipilih adalah kerana sekolah ini merupakan sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah luar bandar yang telah wujud seawal 1925 dan terletak di Jalan Maran-Kuantan. Melalui program kerjasama SK Paya Bungor yang diketuai oleh guru besar, Encik Zol Kefely Hussin bersama FTKKP, program ini dapat memberi khidmat pendidikan kepada masyarakat bumiputera terutama orang asli supaya lebih berminat ke sekolah dan memberi ruang kepada mereka bersama- sama melakukan aktiviti STEM yang menarik.
 
Sesi dimulakan dengan perasmian program dan sudut kitar semula dengan perasmian tapak tong sampah untuk aktiviti kitar semula di kawasan sekolah. Program diteruskan dengan ceramah kitar semula, aktiviti kuiz kesedaran kitar semula dan aktiviti ‘Flip Flap Flat’. Acara kemuncak adalah membina kereta belon daripada bahan buangan dan perlumbaan kereta belon yang telah dicipta oleh para pelajar. Acara ini dijalankan selaras dengan topik pelajaran Sains Tahun 6 bertajuk Bahan buangan dan matapelajaran Reka Bentuk dan Teknologi untuk Tahun 4, 5 dan 6. Selain itu, pengetahuan ini juga adalah seiring dengan kursus yang di ajar kepada pelajar pra siswazah di FTKKP iaitu kursus Recycling Technology (BKC3833).
 
Secara keseluruhan, program ini dapat mencungkil bakat kreativiti pelajar dan menambah minat pelajar dalam STEM serta menanam kesedaran pelajar terhadap kepentingan kitar semula dalam kehidupan seharian. Program yang cemerlang ini diakhiri dengan pemberian hadiah dan sijil penghargaan kepada peserta yang terlibat.

Print   Email