Official Website    

Official Website    

News & Events

PROGRAM MOBILITI TVET ANTARABANGSA ANJURAN UAD DAN FTKKP UMPSA DI SMK TENGKU AFZAN, KUANTAN BERJAYA DILAKSANAKAN SECARA DALAM TALIAN

PROGRAM MOBILITI TVET ANTARABANGSA ANJURAN UAD DAN FTKKP UMPSA DI SMK TENGKU AFZAN, KUANTAN BERJAYA DILAKSANAKAN SECARA DALAM TALIAN

Program Mobiliti TVET Dalam Talian Peringkat Antarabangsa anjuran Universitas Ahmad Dahlan (UAD), Indonesia dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya diadakan pada 18 Jun 2025 secara atas talian bertempat di SMK Tengku Afzan, Kuantan. Program ini disertai oleh pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 sekolah berkenaan, dengan penglibatan seramai hampir 200 orang peserta secara dalam talian menerusi platform Google Meet.

Program ini merupakan satu inisiatif pendidikan rentas sempadan yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan akademik, memupuk kerjasama antarabangsa serta memperkenalkan konsep Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada golongan pelajar sekolah menengah. Di samping itu, program ini juga memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai aspek keselamatan pekerjaan serta pembangunan mampan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Majlis dimulakan pada jam 9.00 pagi oleh pengacara majlis, Dr Vera Yulu Erfiana dari Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Universitas Ahmad Dahlan (UAD), Indonesia. Majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh Pengetua SMK Tengku Afzan, Kuantan, Puan Hajah Rozita binti Ismail, yang mengalu-alukan penglibatan pelajar dalam program berimpak tinggi ini serta mengucapkan penghargaan kepada pihak penganjur atas usaha murni memperkasa bidang TVET di peringkat antarabangsa.

Seterusnya, ucapan disampaikan oleh Ts. Dr. Azizul Helmi bin Sofian, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), UMPSA. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan program mobiliti rentas negara bagi memperluaskan horizon pelajar serta membentuk jaringan akademik sejak dari peringkat awal persekolahan.

Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Prof. Dr. Ir. Siti Jamilatun, Dekan Fakultas Teknologi Industri, UAD yang menyatakan komitmen institusi beliau dalam memupuk kerjasama serantau, sekaligus memperkukuhkan ekosistem TVET dalam memenuhi keperluan pasaran global.

Program diteruskan dengan dua sesi ceramah ilmiah. Sesi pertama bertajuk “Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan” telah disampaikan oleh Dr. Tri Yuni Sukesih dari Fakultas Kesehatan Masyarakat, UAD. Dalam pembentangannya, beliau menekankan kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, khususnya dalam sektor industri moden yang semakin mencabar. Pelajar didedahkan dengan prinsip asas keselamatan pekerjaan, kepentingan penggunaan alat pelindung diri (PPE), serta peranan individu dan organisasi dalam mencegah kemalangan di tempat kerja.

Ceramah kedua pula menyentuh mengenai “Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG)”, yang disampaikan oleh Ir. Utaminingsih Linarti dari Fakultas Teknologi Industri, UAD. Beliau memperkenalkan kepada para pelajar konsep 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang dirangka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta mengaitkan peranan generasi muda dalam merealisasikan agenda pembangunan global ini. Ceramah turut mengetengahkan bagaimana amalan TVET yang lestari dapat menyumbang kepada pencapaian SDG.

Program berakhir pada jam 11.30 pagi dengan sambutan positif daripada para pelajar, guru-guru, serta penceramah yang berpuas hati dengan penglibatan aktif serta responsif daripada peserta walaupun dilaksanakan secara dalam talian. Program ini sekali gus membuktikan keberkesanan penganjuran mobiliti akademik secara maya dalam memperkukuhkan jaringan akademik dan membentuk generasi pelajar yang lebih peka terhadap isu-isu semasa berkaitan pembangunan mampan dan keselamatan pekerjaan.

Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform pendedahan awal kepada para pelajar mengenai peluang kerjaya dalam bidang TVET serta meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab sosial global.

Image
ADDRESS

Faculty of Chemical and Process Engineering Technology
Level 1 Chancellery Building
Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah
Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob
26300 Kuantan
Pahang Darul Makmur.