FTKKP PERKENAL PENGGUNAAN REKA BENTUK DIGITAL UNTUK PEMBELAJARAN SUBJEK KIMIA KEPADA PELAJAR SMK BUKIT GOH
Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), UMPSA telah berjaya menganjurkan program khidmat masyarakat bertajuk Visual Chemistry: Enhancing Students' Understanding Through Canva-Based Learning Modules bersama pelajar Sekolah Menengah Bukit Goh, Kuantan pada 12 Jun 2025.
Program ini merupakan salah satu inisiatif untuk memperkasa pendidikan STEM di peringkat sekolah di bawah Geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti, Pusat Hubungan Komuniti, Jaringan Industri dan Masyarakat, Jabatan Penyelidikan & Inovasi, UMPSA. Seramai 35 orang pelajar Tingkatan 4 dan 5, bersama dengan 2 orang guru bagi subjek Kimia telah menyertai program ini, di samping 8 orang barisan tenaga pengajar dan fasilitator dari FTKKP.
Melalui penggunaan Canva, pelajar didedahkan kepada asas reka bentuk digital dan cara menghasilkan bahan pembelajaran visual yang menarik untuk subjek Kimia. Pendekatan ini seiring dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu pengintegrasian teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah. Sepanjang program dijalankan, pelajar telah menggunakan modul khas bertajuk Mudahnya Canva: Aplikasi Reka Bentuk Digital dalam Subjek Sains yang telah dibangunkan oleh penyelidik FTKKP melalui geran UMPSA tersebut.
Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini, terutamanya Pengetua, Puan Azila binti Junid dan Guru Kimia, Puan Sahida, beserta para pelajar SMK Bukit Goh. Program ini bukan sahaja memberi impak kepada pelajar dari segi pembelajaran STEM dan kemahiran digital, tetapi juga mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat.






