PROGRAM KESEDARAN MENCINTAI ALAM SEKITAR DAN AKTIVITI PLOGING DI CAMERON HIGHLAND
Seramai 47 orang staf Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) serta ahli keluarga telah menyertai aktiviti servis komuniti melalui program “Cintai Alam Sekitar dan Aktiviti Ploging” di Mossy Forest dan Ladang Teh Boh Sungai Palas, Cameron Highlands pada 11 Oktober 2025. Menurut Ketua Kluster Reaction Intensification and Sustainable Energy (RISE) yang juga merangkap Pengerusi program ini, Ts. Dr. Suriyati binti Saleh, program ini merupakan inisiatif kluster RISE, FTKKP, dan hasil kolaborasi bersama Encik Candran, seorang pemilik kebun sayur serta wakil penduduk setempat. Program ini telah memberi pengalaman dan pendedahan kepada generasi muda, penduduk tempatan serta pelancong tentang kepentingan mencintai alam sekitar dan menjaga kebersihan kawasan tumpuan pelancongan.
Hasil daripada aktiviti ini, didapati masih banyak sampah seperti botol plastik, tin minuman, bungkusan makanan dan kotak yang dibuang merata-rata di kawasan pelancongan tersebut. Situasi ini menunjukkan betapa pentingnya kesedaran awam terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar perlu dipupuk dalam diri setiap individu. Secara keseluruhannya, objektif program ini untuk meningkatkan kesedaran sivik dan memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar telah berjaya dicapai.

