PROGRAM ASPIRASI KIMIA 2024 KUKUHKAN SEMANGAT KERJASAMA DI KALANGAN PELAJAR TAHUN 1 FTKKP
Program Aspirasi Kimia 2024 yang berlangsung di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya mengeratkan hubungan antara pelajar Tahun 1 Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP). Program tahunan ini bertujuan membina semangat kerjasama dan silaturahim di kalangan pelajar baru, dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang dapat menyatukan mereka.
Program ini dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Dekan FTKKP, Profesor Ts. Dr. Sumaiya Bt Zainal Abidin@ Murad. Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya semangat berpasukan dalam kalangan pelajar walaupun mereka mengikuti program akademik yang berbeza. Beliau turut mengingatkan para pelajar untuk terus aktif dalam program-program seperti ini tanpa mengabaikan prestasi akademik mereka. "Keaktifan dalam kegiatan kokurikulum sangat penting untuk pembangunan diri, tetapi ia perlu seimbang dengan pencapaian akademik," ujar beliau.
Program Aspirasi Kimia 2024 turut menampilkan Forum Alumni yang melibatkan dua orang alumni berpengalaman, iaitu Ts. Mohd Azlan Hj Mat Ali (Lynas Malaysia Sdn Bhd) dan En. Azamudin Ishak (BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd.). Forum ini memberikan pandangan yang luas tentang hala tuju, peluang kerjaya, serta cabaran dalam bidang kejuruteraan kimia. Melalui perkongsian yang diberikan, pelajar berpeluang untuk memahami lebih mendalam mengenai industri kejuruteraan kimia dan cabaran yang bakal mereka hadapi, sekaligus menyuntik semangat untuk terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
Selain itu, para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menyertai aktiviti explorace dan malam kebudayaan. Aktiviti explorace menguji kepantasan, keupayaan minda, serta semangat kerjasama setiap kumpulan dalam menyelesaikan pelbagai cabaran yang diberikan. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mengasah kemahiran berfikir dan bekerja dalam pasukan.
Pada sebelah malam, pelajar berpeluang mempamerkan bakat masing-masing melalui persembahan dalam malam kebudayaan. Pelbagai persembahan kreatif seperti tarian, nyanyian, dan sketsa berjaya menceriakan suasana serta mengeratkan hubungan antara pelajar. Aktiviti ini memberikan platform kepada pelajar untuk menunjukkan kreativiti mereka di samping menghiburkan rakan-rakan yang lain.
Kesimpulannya, Program Aspirasi Kimia 2024 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, iaitu mengukuhkan semangat kerjasama, persahabatan, dan semangat juang akademik dalam kalangan pelajar Tahun 1 FTKKP. Program ini bukan sahaja menjadi medan untuk berkenalan dan berkongsi pengalaman, tetapi juga memberi inspirasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan pembangunan diri. Diharapkan program ini akan diteruskan pada masa akan datang untuk generasi pelajar yang akan datang.