PROFESOR TURUN PADANG ‘CELIK SAINS, BEBAS DADAH’ DI SK FELDA LEPAR HILIR 1

PROFESOR TURUN PADANG ‘CELIK SAINS, BEBAS DADAH’ DI SK FELDA LEPAR HILIR 1

Seramai 800 pelajar SK (LKTP) Felda Lepar Hilir 1 telah menyertai Program Profesor Turun Padang "Celik Sains, Bebas Dadah" yang dianjurkan oleh Kluster PharmTech, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), UMPSA pada 20 Ogos 2024.

Program ini merupakan kerjasama antara Kluster PharmTech serta Pusat TVET Termaju (PTVET), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan ISPE Student Chapter UMPSA.
 
Program yang berlangsung bermula jam 8.00 pagi itu melibatkan aktiviti-aktiviti yang menarik, antaranya taklimat dan demonstrasi teknologi drone yang melibatkan semua pelajar dan guru sekolah, aktiviti STEM yang melibatkan hands-on seperti penggunaan mikroskop, konsep pH dan ketumpatan, serta "Toxicity of Vape" kepada pelajar tahun 6, dan ceramah anti-dadah kepada pelajar tahap 2.
 
Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mewujudkan dan mengeratkan jaringan komunikasi antara pihak sekolah dan pihak universiti, membolehkan kedua-dua pihak saling berhubung dan berkongsi maklumat demi kesejahteraan bersama melalui pendekatan yang lebih padu dan berkesan.
 
Di samping itu, program ini turut memberi peluang kepada staf yang terlibat untuk menjadikan aktiviti kemasyarakatan seperti ini sebagai satu platform untuk berbakti kepada masyarakat, khususnya pelajar dan guru sekolah.

Program ini telah berjaya mencapai objektif utamanya dalam memberi kesedaran kesihatan dan memupuk minat berkenaan sains, terutamanya kepada para pelajar. Respons daripada pelajar dan guru adalah positif, menunjukkan minat dan keinginan pelajar untuk belajar dengan lebih mendalam tentang sains dan teknologi di sekolah mereka.

Print   Email