MENELUSURI POTENSI PENTERNAKAN ITIK PENELUR DI MALAYSIA
Kajian oleh Ts. Mohd Najib Razali, Pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), UMPSA, membongkar prospek cerah industri penternakan itik penelur di Malaysia. Selain berkhidmat sebagai pensyarah, beliau juga merupakan Pengasas dan Pengarah MNR Multitech Sdn. Bhd., syarikat pemula UMPSA yang aktif meneroka peluang dalam bidang pertanian moden.
Penternakan itik penelur merupakan salah satu industri ternakan yang semakin berkembang di Malaysia. Walaupun kurang popular ketimbang industri penternakan ayam, penternakan itik penelur ini mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada bekalan telur negara dan membuka peluang ekonomi baharu bagi para penternak. Telur itik bukan sahaja digunakan untuk keperluan domestik, malah menjadi bahan utama dalam industri makanan seperti pembuatan telur masin, telur pindang, kuih bahulu, kuih bulan, kerepek dan kek.
Di samping itu juga, penternakan itik penelur boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat luar bandar dengan memberi peluang pekerjaan seterusnya meningkatkan tahap pendapatan isi rumah negara melalui penjanaan pendapatan yang berterusan. Hal ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 1: Tiada Kemiskinan.
Menyedari kepentingan dan potensi industri ini, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengambil inisiatif untuk menjalin kerjasama di peringkat akar umbi bersama komuniti tempatan dalam usaha membangunkan industri itik penelur secara mampan dan inklusif. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh keterlibatan universiti dalam pemindahan ilmu dan teknologi, malah berperanan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi setempat.