FASTECH "MENGAUM" DI KONVENSYEN KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF (KIK) HORIZON BAHARU UMPSA

FASTECH "MENGAUM" DI KONVENSYEN KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF (KIK) HORIZON BAHARU UMPSA

Majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah Konvensyen Kumpulan Inovasi dan Kreativiti (KIK) Horizon Baharu Peringkat UMPSA Kali Ke-2 Tahun 2024 ini telah berlangsung di Dewan Serbaguna, UMPSA Pekan hari ni.
 
Sebanyak 21 kumpulan KIK UMPSA melibatkan 180 orang staf bertanding bagi kategori Inovasi Sosial dan Inovasi Penyampaian Perkhidmatan dalam sesi penjurian bermula dari 13 November 2024 hingga 14 November 2024. Terdapat 3 hadiah utama dan 8 anugerah menjadi rebutan para peserta pada kali ini.
 
Johan bagi Konvensyen KIK Horizon Baharu UMPSA Kali Ke-2 2024 jatuh kepada kumpulan FASTECH dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dan sekaligus memenangi Anugerah Khas iaitu Anugerah Buku Projek Terbaik. Naib Johan diungguli oleh kumpulan KIKEE dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE). Manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan PPPH Savior dari Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH).
 
Tiga panel juri dilantik bagi penilaian KIK kali ini iaitu Pengarah Strategik dan Inovasi Tentera Darat, Bahagian Inspektorat Tentera Darat (BITD) Kementerian Pertahanan Malaysia, Kolonel Ir. Ts. Dr. Mohd Ghazali bin Abdul Rahman, Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Puan Azura binti Abdul Jamil@Kamarudzzaman dan Penolong Pengarah Unit Kawasan Larangan dan Tempat Larangan, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) Jabatan Perdana Menteri, Encik Muhammad Muzzammil bin Razali.
 
Menurut Penolong Naib Canselor (Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah binti Abdul Munaim, Konvensyen KIK UMPSA ini merupakan platform yang sangat penting untuk berkongsi idea, inovasi dan pengalaman pelaksanaan inovasi dan kreativiti di jabatan masing-masing.
 
"Melalui usaha ini, kita bukan sahaja dapat memupuk semangat kreativiti dalam kalangan warga universiti tetapi juga dapat membina jaringan yang lebih kukuh antara jabatan.
 
"Konvensyen KIK UMPSA ini bukan hanya sekadar satu acara tetapi merupakan satu langkah penting ke arah memupuk budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga kerja UMPSA", katanya.
 
Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah hadir merasmikan majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah Konvensyen Kumpulan Inovasi dan Kreativiti (KIK) Horizon Baharu Peringkat UMPSA Kali Ke-2 Tahun 2024.

Print   Email