ANGKAT SUARA ANAK MUDA SEBAGAI ASET NEGARA

ANGKAT SUARA ANAK MUDA SEBAGAI ASET NEGARA

HARI Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini diraikan walaupun sederhana, namun semangat patriotisme itu sewajarnya dihiasi kegembiraan dan rasa syukur atas perjuangan nenek moyang kita terdahulu.

Namun, sering kali didengari anak muda kini tidak lagi mempunyai semangat patriotisme tinggi. Benarkah tanggapan ini?

Adakah semangat patriotisme itu sekadar mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu Negaraku? Tanggapan ini jelas sekali bersifat mitos dan tidak seharusnya suara sumbang sebegini diangkat di arus perdana.

Buktinya jelas dapat dilihat ketika negara dilanda pandemik COVID-19. Ramai anak muda yang turun padang sebagai sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV). Ada pula sibuk mengedarkan bakul makanan, membantu ibu bapa serta warga tua yang tidak mampu keluar rumah dengan memberikan perkhidmatan penghantaran barang dan sebagainya.

Semua inisiatif ini dilakukan sesama mereka bermula daripada pencarian dana dan dijalankan di komuniti masing-masing, yang kemudian berkembang ke peringkat nasional.

Baru-baru ini, ketika Yan di Kedah dilanda fenomena kepala air yang mengakibatkan ramai penduduk di sekitar Gunung Jerai dan Yan terjejas, sekali lagi kita dapat lihat anak muda menjadi sukarelawan serta menawarkan bantuan kepada penduduk kampung di sana.

Cara mereka bergerak cukup berbeza dan lebih kreatif, membuktikan negara kita ini mempunyai pewaris negara yang boleh dipercayai. Kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia adalah kekuatan yang harus dibangga dan dimanfaatkan sebaik mungkin, bukan dilihat sebagai liabiliti.

Realitinya, senario politik kuno yang berlegar dalam kalangan figura veteran dilihat tidak lagi relevan dan memberikan kesan buruk kepada pembinaan negara bangsa yang berjaya. Masa kini, anak muda lebih berani dan lantang bersuara, terutama di media sosial yang menjadi platform utama mereka memberikan pendapat serta idea demi negara tercinta.

Malangnya, pandangan ini sering diambil remeh dan dianggap mentah serta tidak matang. Namun persoalannya, sampai bila suara anak muda ini ingin dimatikan?

Jika peluang dan ruang tidak diberikan secukupnya kepada mereka, tidak hairanlah jika pada masa akan datang lebih ramai memilih untuk turun ke jalanan demi memastikan suara mereka didengari.

Yakinlah bahawa anak muda masa kini lebih matang dan berfikiran jauh. Dengan kematangan ini, sewajarnya kepercayaan diberikan kepada mereka dalam mentadbir urus sebahagian daripada pentadbiran negara.

Fenomena seperti 'Dr Malar Santhi' misalnya di media sosial yang begitu fasih berbahasa Melayu dan celotehnya yang lebih mudah difahami membuktikan figura anak muda ini berjaya menyatukan rakyat Malaysia dalam usaha memerangi mitos berkenaan COVID-19.

Begitu juga pengamal perubatan seperti Dr Amalina Bakri dan Dr Khairul Hafidz (medtweetMy) yang juga antara figura anak muda yang begitu aktif menyampaikan ilmu mereka di media sosial.

Namun, bagaimana pula dengan figura anak muda dalam bidang lain? Hakikat harus diterima, negara tidak ketandusan figura dalam kalangan anak muda dan seharusnya usaha digerakkan mereka dihargai serta diangkat sebagai suara perdana, bukan pertelingkahan dan perebutan kuasa yang perlu disensasikan.

Kejayaan dalam menyatu dan membangunkan masyarakat negara ini dalam kapasiti tersendiri, meyakinkan lagi penyataan bahawa anak muda kini adalah pewaris negara yang boleh dipercayai.

Masih ramai anak muda begitu sayang kepada negara ini dan sewajarnya sudut pandang mereka juga diambil kira dalam menentukan hala tuju negara, demi memastikan tanah air ini akan terus merdeka dan maju pada masa akan datang.

Di Universiti Malaysia Pahang (UMP), slogan 'Memasyarakatkan Teknologi' adalah manifestasi kepada pembangunan dan melahirkan graduan serta ruang ilmu yang akan memberikan manfaat kepada masyarakat.

Ia antara wadah melahirkan generasi muda yang berilmu dan memberi manfaat kepada masyarakat sekitar.

Justeru, sewajarnya kita harus yakin dengan kemampuan dan kebolehan generasi muda masa kini untuk mewarisi tanah tumpah negara tercinta ini.

Oleh: Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Malaysia Pahang

Sumber dari BH Online


Print   Email