UMPSA PERKUKUH JARINGAN GLOBAL DI EAIE 2025 DAN LAWATAN RASMI KE CHALMERS UNIVERSITY OF TECHNOLOGY, SWEDEN
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Persidangan European Association for International Education (EAIE) 2025 di Gothenburg, Sweden, dengan misi memperkukuh jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan di peringkat global. Penyertaan ini turut memberi tumpuan kepada peluasan peluang melalui program Erasmus+ seperti Capacity Building in Higher Education (CBHE), International Credit Mobility (KA171), serta inisiatif Joint Master dan Research Partnerships. Platform ini membuka ruang kepada pertukaran pelajar, latihan staf, pembangunan kurikulum, serta kolaborasi penyelidikan bersama universiti terkemuka dunia.
Sepanjang persidangan, delegasi UMPSA yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi, Pengarah UMPSA Global, bersama Cik Nur Ezzati Mohd Nasir, telah mengadakan siri pertemuan dengan universiti dari Eropah, Asia, dan Timur Tengah. Perbincangan memberi penekanan kepada projek CBHE yang menyokong pembangunan kapasiti institusi pengajian tinggi melalui perkongsian kepakaran, di samping peluang melalui KA171 bagi memperluaskan pertukaran staf dan pelajar ke luar Eropah. Turut diketengahkan ialah pembangunan program ijazah berkembar, pelaksanaan global classroom, penyeliaan bersama di peringkat PhD, serta kolaborasi penyelidikan dalam bidang tenaga lestari, digitalisasi, dan teknologi kejuruteraan masa hadapan.
UMPSA turut berjaya mengembangkan rangkaian kerjasama baharu dengan beberapa universiti rakan strategik. Antara universiti tersebut ialah Université de Technologie de Troyes (UTT), Perancis, melalui perbincangan mengenai program pertukaran staf dan pelajar serta penyelidikan bersama dalam bidang kejuruteraan. Seterusnya, Universitat Politècnica de València (UPV), Sepanyol, menumpukan kepada peluang Erasmus KA171 untuk pertukaran pelajar dan staf serta projek penyelidikan. Kerjasama dengan Liverpool John Moores University (LJMU), United Kingdom pula memberi tumpuan kepada pengukuhan program mobiliti pelajar dan peluang penyelidikan bersama, manakala Warsaw University of Technology (WUT), Poland, membuka ruang kolaborasi dalam bidang teknologi digital, kejuruteraan, dan pembangunan kapasiti staf.
Pada hari terakhir persidangan, delegasi UMPSA turut mengadakan lawatan rasmi ke Chalmers University of Technology, salah sebuah institusi teknikal terkemuka Sweden. Delegasi disambut oleh Prof. Magnus Skoglundh, pakar dalam bidang pemangkinan dan tenaga lestari, yang kini mengetuai penyelidikan di Competence Centre for Catalysis (KCK).
Prof. Skoglundh memperkenalkan penyelidikan terkini KCK yang memberi tumpuan kepada pengurangan emisi nitrogen oksida (NOx), pengoksidaan hidrokarbon pada suhu rendah, serta penggunaan semula CO₂ dan metana untuk menghasilkan bahan kimia bernilai tinggi. Beliau turut berkongsi penggunaan teknik moden seperti in-situ dan operando, selain nanotechnology untuk mengoptimumkan prestasi bahan pemangkin dari segi aktiviti, selektiviti, dan kestabilan. Visi KCK adalah untuk menyumbang kepada sistem tenaga, pengangkutan, dan alam sekitar yang mampan, selaras dengan agenda Eco-University 2030 UMPSA.
Penyertaan UMPSA di EAIE 2025 serta lawatan ke Chalmers University of Technology menandakan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh kerjasama global, khususnya dalam penyelidikan tenaga lestari, teknologi hijau, dan inovasi kejuruteraan. Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan reputasi antarabangsa UMPSA, malah membuka peluang strategik melalui Erasmus+ (CBHE, KA171, EMJM), bagi memastikan pelajar, staf, dan penyelidik Malaysia dapat bersaing serta menyumbang di pentas antarabangsa.




