UMPSA ANJUR INTERNATIONAL CONFERENCE ON CHEMICAL ENGINEERING & INDUSTRIAL BIOTECHNOLOGY (ICCEIB) 2024 KALI KE-7

UMPSA ANJUR INTERNATIONAL CONFERENCE ON CHEMICAL ENGINEERING & INDUSTRIAL BIOTECHNOLOGY (ICCEIB) 2024 KALI KE-7

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menganjurkan International Conference on Chemical Engineering & Industrial Biotechnology (ICCEIB) 2024 Kali Ke-7 di Putrajaya yang berlangsung selama 3 hari bermula 27 Ogos 2024 hingga 29 Ogos 2024.
 
Persidangan ICCEIB 2024 yang bertemakan “Pendekatan Kolaboratif untuk SDG: Memangkin Kemampanan dalam Keselamatan Makanan, Tenaga dan Air” ini juga julung kali diadakan secara hybrid bagi meluaskan capaian dan penglibatan para peserta dari serata dunia.
 
Menurut Naib Canselor, Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin, ICCEIB 2024 menerima 155 penyerahan abstrak yang mengagumkan.
 
“Kertas kerja ini telah melalui semakan rapi dan menunjukkan potensi besar untuk diterbitkan dalam jurnal berprestij, termasuk Journal of Chemical Technology and Biotechnology (Wiley-VCH, Q2, IF 3.709), serta dalam jurnal yang diindeks MyCite. Selain itu, semua kertas kerja yang diterima akan diserahkan kepada Scopus Indexed Proceedings, Journal of Physics: Conference Series dan Lecture Notes on Multidisciplinary Industrial Engineering (Springer)”, katanya.
 
Tambahnya lagi, UMPSA komited untuk memajukan aktiviti penyelidikan dan pengkomersialan dalam Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi Perindustrian, dengan tumpuan untuk mendapatkan dan mengekalkan sumber penting seperti makanan, tenaga dan air.
 
“Selaras dengan Sustainable Development Goal (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kami telah mewujudkan banyak kerjasama dengan industri dan institusi tempatan dan antarabangsa untuk memupuk masa depan yang mampan”, katanya.
 
Majlis perasmian ICCEIB 2024 hari ini turut menyaksikan Prof Ts Dr Yuserrie Zainuddin menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMPSA dan Crescent Engineering (M) Sdn Bhd. yang diwakili oleh Pengarah Urusan, Mr. Mohamad Azmi bin Kamari.
 
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Dr. Sumaiya binti Zainal Abidi@ Murad dan Pengerusi ICCEIB 2024, Prof. Madya Ts. Dr. Saidatul Shima binti Jamari.

Print   Email