UMP perkasa Agenda Transformasi Digital Program TVET melalui kerjasama strategik bersama AspenTech
Menurut Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid, sistem pendidikan perlu mempersiapkan pelajar menghadapi bentuk pekerjaan dan permasalahan baharu pada masa hadapan. Menurut beliau lagi, pihak berwajib perlu menentukur semula keutamaan mereka secara holistik dan bersepadu termasuk melihat kesediaan IPT untuk menerapkan dan mempersiapkan pelajar cabaran bentuk baharu ini. Organization for Economic Co-operation and Development (OECD) turut menyarankan bahawa pelajar abad ke-21 perlu dilengkapkan dengan kemahiran yang sesuai dan berdaya saing untuk berjaya dan kekal dalam persekitaran kerja yang sentiasa berubah dan berteknologi tinggi.
Bagi mencapai hasrat tersebut, CC-SISPI sentiasa bekerjasama dengan pihak industri. Salah satunya ialah AspenTech, sebuah syarikat perisian pengoptimuman aset terkemuka dunia. AspenTech diasaskan di Massachusetts Institute of Technology (MIT) 40 tahun yang lalu. Bermula sebagai dana penyelidikan dari Jabatan Tenaga US, kini AspenTech menjadi sebuah syarikat gergasi dunia dalam bidangnya. Mempunyai 1,700 pekerja di lebih 30 lokasi di seluruh dunia, dengan lebih 2,300 pengguna, dianggarkan nilai yang terhasil daripada pengguna teknologi mereka ialah $50 bilion.
Pada 1 November 2021, satu Memorandum Perjanjian (MoA) telah ditandatangani di antara UMP dengan AspenTech. Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara. Ia akan memberi tumpuan kepada objektif berikut:
- Menggalakkan pembangunan kompetensi pelajar dan kakitangan akademik UMP melalui beberapa siri program latihan dan pensijilan;
- Memasukkan penyelesaian perisian AspenTech ke dalam kurikulum akademik Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses UMP; dan
- Menubuhkan Pusat Kecemerlangan AspenTech di UMP.
Kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada warga UMP melalui pelbagai aktiviti seperti latihan dan pembangunan pelajar, sijil kompetensi, program eksekutif, hab latihan pendidikan, pameran kerjaya, dan sebagainya. Selain itu, kerjasama ini juga akan membantu UMP mengembang dan meningkatkan kualiti kurikulum selari dengan keperluan industri yang sentiasa dinamik.
Ekosistem ini akan bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada warga UMP tetapi kepada masyarakat dan komuniti. Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan secara tidak langsung akan meningkatkan kobolehpasaran pelajar dan kecekapan kakitangan, memperkukuhkan program akademik, reputasi dan penjenamaan pada peringkat nasional dan antarabangsa seterusnya meletakkan UMP sebagai sebuah universiti berasaskan teknikal terunggul di Malaysia.
Oleh: Profesor Madya Ir. Dr. Mohamad Rizza Othman, Timbalan Pengarah Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti (PHKK), Ketua Pusat Kompetensi CC-SISPI dan pensyarah kanan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang (UMP)
Sumber: UMP News