PROGRAM PTP: MISI HIJAUKAN BUMI BERSAMA SK CHEROK PALOH BERJAYA JAYAKAN KESEDARAN ALAM SEKITAR
24 September 2025 – Program Professor Turun Padang (PTP): Misi Hijaukan Bumi Bersama SK Cherok Paloh telah berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama tiga gabungan pusat tanggungjawab (PTJ) iaitu Pejabat Jaringan Industri & Masyarakat (PJIM), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses (FTKKP) serta Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC).
Program yang diadakan di SK Cherok Paloh ini melibatkan penyertaan seramai 182 murid, 19 guru, warga setempat, serta sokongan 10 staf akademik dan 10 mahasiswa FTKKP yang diketuai oleh Dr. Jun Haslinda Shariffuddin.
Tujuan utama program adalah untuk mendidik warga sekolah dan masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar, khususnya dalam aspek pengurusan sisa pepejal. Antara pengisian utama ialah pendedahan tentang transformasi sisa makanan menjadi tanah kompos melalui proses pengkomposan, yang telah disampaikan oleh Datin Prof. Madya Ts. Dr. Azilah Ajit.
Program turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), menerusi ceramah mengenai pengurusan sisa pepejal oleh En. Ashraff bin Kaharudin, Ketua Seksyen Pendidikan Masyarakat SWCorp Pahang.
Penganjuran program ini menjadi platform penting dalam membentuk kesedaran awal kepada murid-murid dan masyarakat tentang kepentingan mengurus sisa dengan betul, seterusnya menyemai nilai cinta terhadap kelestarian alam sekitar.
Pihak FTKKP merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat serta menegaskan komitmen untuk terus menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui inisiatif pendidikan dan inovasi sosial demi kesejahteraan alam sekitar.



