LAWATAN KERJA DAN JARINGAN INDUSTRI, EPOMS SDN. BHD. & PSDC KE FAKULTI TEKNOLOGI KEJURUTERAAN KIMIA & PROSES (FTKKP), UMPSA
Pusat Jaringan Industri & Masyarakat (PJIM) dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses (FTKKP), hari ini menerima kunjungan daripada wakil EPOMS Sdn. Bhd. dan Pahang Skills Development Centre (PSDC) dalam rangka lawatan kerja dan jaringan industri.
Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama antara institusi pendidikan dan sektor industri, khususnya dalam bidang teknologi kejuruteraan kimia. Delegasi EPOMS Sdn. Bhd. diketuai oleh En Mohd Ridzuan Hassan dan En Sayed Mohd Saipul Bahri Pahang Skill Development Center (PSDC).
Dalam sesi taklimat yang diadakan, para delegasi telah diberi penerangan mengenai pencapaian akademik dan penyelidikan terkini FTKKP. Mereka juga berpeluang berdialog mengenai peluang kolaborasi dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan industri bagi pelajar, serta program kerjasama akademik yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Selain itu, lawatan ini turut memberi peluang kepada delegasi untuk meninjau kemudahan makmal dan pusat penyelidikan di fakulti. Sesi lawatan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat FTKKP ini dihadiri oleh pensyarah dan wakil pengurusan fakulti.
Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan & Pascasiswazah FTKKP, Prof. Madya Ts.Dr. Rohayu binti Jusoh. lawatan ini merupakan platform penting bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti dan industri. “Kerjasama ini bukan sahaja dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan UMPSA, malah turut memberi peluang kepada industri untuk memanfaatkan kepakaran dan fasiliti penyelidikan yang ada di UMPSA,” ujarnya.
Lawatan kerja ini diakhiri dengan sesi perbincangan dua hala dan pertukaran cenderamata antara pihak PJIM, FTKKP, EPOMS Sdn. Bhd., dan PSDC sebagai simbolik komitmen untuk terus menjalin hubungan kerjasama yang strategik pada masa hadapan.
Latest News
19 December 2024