4th PROCESS SYSTEMS ENGINEERING AND SAFETY SYMPOSIUM (ProSES 2025)
3 September 2025 - 4th Process Systems Engineering and Safety Symposium (ProSES 2025) telah diadakan secara maya, anjuran Process Systems Engineering & Safety Research Group, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), dengan penganjuran bersama Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Indonesia.
Simposium ini telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Dr. Yatimah binti Alias, Naib Canselor UMPSA, dengan penyertaan aktif daripada penyelidik, penggiat industri, dan ahli akademik dari dalam dan luar negara. Simposium ProSES bagi edisi ke-4 ini diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Noor Asma Fazli bin Abdul Samad selaku Pengarah Program, dan turut dihadiri oleh Profesor Ts. Dr. Sumaiya binti Zainal Abidin@Murad, Dekan FTKKP yang bertindak sebagai Penasihat program.
Bertemakan “Artificial Intelligence (AI) Innovations and Challenges in Process Industries”, ProSES 2025 menampilkan ucaptama daripada Encik Cooberan Thambirajah (Aspentech) dengan tajuk pembentangan “Digital Twin Application in Process Industry” dan Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Herwan Sulaiman (UMPSA) dengan tajuk pembentangan “Harnessing Nature-Inspired Algorithms for Advancements in AI: Innovations and Challenges in Industrial AI Applications”.
Sebanyak 50 penyertaan diterima pada tahun ini dengan turut melibatkan peserta dari luar negara, terutamanya Indonesia. Melalui sesi ucaptama, pembentangan teknikal dan diskusi, ProSES 2025 telah membuka ruang kepada peserta untuk berkongsi ilmu, bertukar pandangan, serta membincangkan cabaran semasa dalam industri proses.
ProSES merupakan persidangan dwitahunan yang bermula pada tahun 2019, diikuti dengan kejayaan penganjuran pada edisi 2021 dan 2023. Sejak penubuhannya, ProSES menjadi platform utama yang mempertemukan komuniti penyelidik tempatan dan antarabangsa bersama pakar industri.
Tahniah kluster penyelidikan Process Systems Engineering and Safety FTKKP di atas penganjuran ProSES Symposium 2025!


