PERSEDIAAN EKOSISTEM PEMBELAJARAN PROGRAM MINYAK DAN GAS YANG LESTARI
Selaras dengan pengumuman ini juga, pihak Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang (UMP), selaku fakulti yang menawarkan kursus Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas turut terpanggil untuk memperkasakan tenaga pengajarnya bersesuaian dengan kehendak industri semasa dan aspirasi negara dalam memastikan industri minyak dan gas menjadi lebih mesra alam dan lestari. Kursus yang ditawarkan khas bagi lepasan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) ini merupakan kursus khas bagi melahirkan bakat dan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi terutama didalam bidang penyelenggaraan fasiliti minyak dan gas. Diantara usaha pemerkasaan yang telah diambil baru-baru ini adalah kursus intensif bersama pihak Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dimana para pengajar yang berkaitan telah menjalani latihan intensif di institusi tersebut secara teori dan amali. Tujuan kursus jangka pendek ini adalah untuk memastikan segala kandungan pembelajaran yang ditawarkan relevan dengan kehendak industri semasa dan akan datang. Bagi memastikan kemenjadian pelajar lepasan kursus ini menjadi rebutan industri, sudah pasti mereka akan didedahkan dengan aktiviti yang bersifat “hands-on” menggunakan peralatan atau kemudahan yang sememangnya digunapakai di industri. Sekaligus memberikan pengalaman sebenar sebagaimana yang dilakukan ketika aktiviti penyelenggaraan di tempat kerja sebenar. Ketika kursus bersama pihak INSTEP, perbincangan berkenaan peralatan atau “tools” yang bersesuaian juga turut menjadi fokus untuk memastikan prasarana dan kemudahan tersebut dapat disediakan di UMP. Menurut Dr Khonisah, salah seorang peserta kursus dan tenaga pengajar program ini, “kursus bersama pihak INSTEP telah memberikan pengalaman dan gambaran penyelenggaraan yang sebenar kepada peserta dan telah berjaya memberikan idea dalam penyampaian kursus yang lebih informatif dan berkesan”. Memandangkan negara masih lagi dilanda pandemik COVID-19, pendekatan pembelajaran turut menuntut tenaga pengajar untuk menjadi lebih kreatif dan berinovasi tanpa berkompromi dengan kualiti dan memastikan setiap individu yang bergraduasi nanti akan mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan untuk akses ke dunia pekerjaan sebenar terutama didalam bidang minyak dan gas.
Sebagaimana pengumuman yang telah dibuat oleh Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, menjelang 2050 syarikat tersebut akan mencapai sifar bersih pelepasan gas karbon, sudah pasti teknologi dan kemahiran pekerja yang diingini perlu ke arah aspirasi yang sama. Disini penggunaan teknologi digital dan teknologi termaju menjadi semakin kritikal. Perubahan industri ke era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) menuntut para pelajar yang bakal dilahirkan nanti berupaya untuk menggunapakai dan menerima teknologi termaju, dengan lebih fleksibel dan matang. Kemahiran menggunakan teknologi pesawat pemantau (drone) misalnya menjadi tuntutan kemahiran dimasa akan datang. Aplikasi pesawat pemantau tidak lagi terbatas kepada sesuatu industri tetapi dilihat menjadi medium pemantau tanpa manusia yang amat berkesan dalam pelbagai bidang dan ruang. Peranan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu lebih kehadapan agar keperluan industri, komuniti dan negara dapat dipenuhi. “Dalam usaha merealisasikan matlamat ini, usaha sama dan idea daripada pelbagai pemegang taruh perlu diambil kira dan kandungan kursus juga perlu fleksibel dan pembaharuan secara berterusan amatlah penting”, kata Dr Rosmawati selaku Ketua Program kursus ini. Jika semangat “kaizen” dapat diterapkan bukan sahaja kepada para pelajar tetapi kepada tenaga pengajar sudah pasti usaha untuk melahirkan bakat masa hadapan yang berkemahiran tinggi dan berkendiri mampu dicapai.
Disediakan oleh: Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses